SIBU: Status Sibu sebagai zon putih rabies tidak seharusnya menyebabkan penduduk di bandar ini leka dalam usaha mencegah penularan penyakit itu yang masih menjadi ancaman kesihatan awam serius di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, walaupun jumlah kes rabies dalam kalangan manusia relatif rendah, kadar kematian akibat penyakit itu amat tinggi.
“Rabies masih menjadi kebimbangan kesihatan awam dan veterinar di Sarawak sejak 2017. Tahun ini, kita telah merekodkan empat kes rabies dalam kalangan manusia dan kesemua empat mangsa meninggal dunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program vaksinasi anti rabies berskala besar di ruang lapang Eco Delite Cafe, Jalan Ulu Sungai Merah, hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Sibu dengan kerjasama Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pelawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memberitahu, berdasarkan data terkini negeri, sebanyak 94 kes rabies dalam kalangan manusia telah direkodkan di Sarawak sejak wabak itu bermula pada Julai 2017, dengan 87 kematian, iaitu kadar kematian sekitar 93 peratus.
“Menjadi zon putih (Sibu) tidak bermakna kita perlu memperlahankan usaha menyediakan vaksinasi percuma untuk anjing peliharaan dalam komuniti. Vaksinasi anjing peliharaan secara tahunan perlu terus diberi keutamaan,” tegasnya.
Katanya, pihaknya turut menerima kebimbangan orang ramai berhubung kes gigitan dan cakaran kucing, sekali gus mencadangkan supaya Jabatan Perkhidmatan Veterinar meneliti kemungkinan menyediakan vaksin anti rabies untuk kucing peliharaan dalam program akan datang.
“Kita meminta Jabatan Veterinar melihat perkara ini dan menilai sama ada kita boleh menyediakan vaksin untuk kucing pada pusingan akan datang,” ujarnya lagi.
Katanya, perkara itu wajar diberi perhatian susulan perubahan corak pendedahan kepada haiwan di Sarawak, dengan data kesihatan menunjukkan gigitan dan cakaran kucing menyumbang kepada sebahagian besar insiden gigitan haiwan yang dilaporkan.
Sementara itu, sebanyak 26 haiwan, termasuk 23 anjing dan tiga kucing, disahkan positif rabies di Sarawak setakat 20 Ogos lalu.
Tiang turut menggesa pemilik anjing mengambil peluang mendapatkan vaksinasi percuma dan memastikan haiwan peliharaan mereka menerima suntikan anti rabies setiap tahun.
“Inilah masa yang terbaik untuk mereka membawa anjing peliharaan ke stesen vaksinasi. Ia untuk melindungi keluarga dan anjing peliharaan mereka dan demi kebaikan semua,” katanya.
Tambahnya, ketua kaum masyarakat dan JKKK akan terus menganjurkan program seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memperkukuh usaha pencegahan rabies di peringkat komuniti.
Oleh Akun Giman





