LIMBANG: Kapasiti bekalan air bersih untuk daerah Limbang akan ditingkatkan melalui pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Air Berawan.
Projek yang bernilai RM33.5 juta itu dijangka siap hujung Oktober dan mampu menampung keperluan bekalan air di daerah ini dengan kapasiti 40 juta liter sehari (MLD).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, pada masa ini Loji air Berawan hanya mampu menampung 20 juta MLD dan akan ditambah kapasitinya 20 juta MLD lagi apabila siap hujung Oktober tahun ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak memberitahu media selepas menghadiri sesi taklimat Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Dewan Kampung Anak Tuno, Jalan Kpg Paya Lakap di sini semalam.
Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Sebi Abang, Pengurus Wilayah Utara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Tie Tung Ing, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latip dan Pegawai Daerah Limbang, Superi Awang Said.
Kerajaan negeri turut memberi peruntukan untuk projek BALB yang dilaksanakan di daerah ini.
Malah sejumlah RM42.6 juta dibelanjakan untuk projek cadangan pengambilan air mentah baharu di Sungai Limbang dan pembinaan pam utama untuk Berawan WTP Limbang (LAKU) yang dijangka siap Februari tahun depan.
“Bagi Projek BALB ini, sistem retikulasi Negeri Sarawak tahun 2016 zon 11, Limbang sejumlah RM3.3 juta diperuntukkan untuk pembekalan, perletakan, pengujian dan pengoperasian saluran paip sepanjang kira-kira 9 kilometer dari Meritam ke Rumah Rumpang, Paya Lakap dan Merasam yang dijangka siap Oktober ini,”ujarnya.
Selain itu beberapa projek Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) 2019 di DUN Batu Danau turut giat dilaksanakan membabitkan projek membaik pulih sistem air graviti Rumah Tangai, Lubok Tuan bernilai RM70,000 dan sudah siap, membaik pulih sistem air graviti Rumah Jubang, Tanah Merah dengan kos RM200,000.
“Kita turut melaksanakan projek RTP 2020 iaitu membaik pulih sistem paip air graviti Rumah Lembong, Entakong bernilai RM150,000, baikpulih sistem paip/air graviti Kampung Rantau Kurra, Klinik Kuala Medalam/SK Kuala Mendalam dengan kos RM70,000.
Pada masa yang sama kerajaan negeri pimpinan GPS juga sedang melaksanakan beberapa projek rakyat di DUN Batu Danau yang membabitkan cadangan penyambungan saluran paip di rumah kedai dan pejabat daerah di Nanga Medamit dengan kos RM200,000 dan ke kawasan rumah individu dan gereja di Kampung Lasas dan Mekasing/Ukong Limbang bernilai RM152,000.