KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.3 juta bagi melaksanakan empat projek pembangunan bagi meningkatkan ekonomi nelayan di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata antaranya ialah projek naik taraf Stesen Minyak Persatuan Nelayan (PNK) Kabong berjumlah RM1.1 juta; bina baharu anjung selera dan inap desa PNK Kabong (RM900,000) dan projek menaik taraf Yellow Cafe PNK Kabong berjumlah RM300,000.
“Kesemua projek pembangunan tersebut akan mula dilaksanakan pada 2025, dan saya amat menyambut baik usaha yang dirancang oleh PNK Kabong itu dalam membangunkan sosioekonomi nelayan terutamanya masyarakat di kawasan Kabong.
“Semoga pelaksanaan kesemua projek ini akan dipermudahkan dan saya sebagai wakil rakyat akan membantu apa sahaja keperluan demi memajukan kawasan DUN Kabong ini,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Kesyukuran PNK Kabong Tahun 2024 dekat sini hari ini.
Chee Kadir berkata impian seluruh masyarakat di DUN Kabong untuk melihat sebuah stesen minyak dibina di daerah itu bakal menjadi kenyataan sebaik sahaja kerja pembinaanya bermula tidak lama lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) Kabong kerana telah berjaya menarik minat ramai belia untuk menyertai Seni Silat Mayang Mengurai di daerah ini.
“PNK Kabong melalui KUBENA Kabong kembali mengaktifkan seni silat Mayang Mengurai yang telah berjaya menarik minat golongan belia yang telah ditubuhkan pada Mac 2024. Saya bersedia membantu pihak pengurusan Silat Mayang Mengurai Kabong ini,” katanya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyampaikan geran khas kerajaan Sarawak kepada PNK Kabong berjumlah RM15,000 untuk menjalankan aktiviti tahunan pertubuhan tersebut.
Turut hadir ialah isteri Chee Kadir, Datin Meryani Yasin; Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot; Pengerusi PNK Kabong, Darmizan Daud serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PNK Kabong.
Oleh ADI SAFARMAN