



KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM19 juta setakat ini bagi membantu rakyat di negeri ini memiliki rumah pertama.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut berupa deposit berjumlah RM10,000 kepada setiap pembeli rumah pertama, yang membabitkan 1,900 unit rumah setakat ini.
“Maknanya selepas ini, kita akan membantu lebih banyak lagi rakyat Sarawak untuk memiliki rumah pertama memandangkan banyak projek perumahan mampu milik yang dijalankan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Perumahan Vision Hill Sri Pertiwi di sini hari ini.
Bagi Perumahan Vision Hill Sri Pertiwi pula, Abang Johari memberitahu kerajaan Sarawak telah memberi deposit melebihi RM250,000 bagi lebih 250 unit rumah yang kesemuanya telah dibeli oleh masyarakat.
“Di sini ada lebih 250 unit rumah, bermakna kerajaan Sarawak telah memberi lebih kurang RM254,000 deposit, yang tidak perlu dibayar balik kerana kesemuanya ditanggung oleh kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Pembeli rumah hanya menyambung pembayaran setiap bulan kepada ‘Mutiara Mortgage and Finance’, ini saya lihat banyak memudahkan pembeli rumah kita,” katanya.
Terdahulu, beliau berkesempatan menyampaikan replika kunci sebagai simbolik penyerahan kunci rumah kepada pemilik.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman. – EDISI UKAS