
SARATOK: Kawasan bahu jalan di Lot Bunian Kampung Tanjung Hulu Saratok akan dinaik taraf melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka berjumlah RM170,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun ini yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau berkata setelah projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) bekalan elektrik luar bandar dan projek menaik taraf parit telah dilaksanakan baru-baru ini, ia telah memberikan keselesaan kepada penduduk kampung terbabit.
“Kini projek menaik taraf bahu jalan di sepanjang kawasan kampung berkenaan akan dinaik taraf melalui projek RTP. Projek ini diharapkan akan menjamin keselamatan kepada penduduk setempat setelah ia siap nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan JKR Saratok telah mengadakan lawatan tapak projek naik taraf bahu jalan Lot Bunian Kampung Tanjung Hulu Saratok, hari ini.
Mohamad Duri berkata pelaksanaan projek ini merupakan permintaan daripada penduduk kampung yang mahukan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku di kampung mereka.
“Segala kemudahan tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus menyediakan kemudahan yang diperlukan.
“Justeru saya mahu agensi pelaksana serta kontraktor yang dilantik mempercepatkan pelaksanaan projek-projek RTP di kawasan DUN Kalaka, ia penting bagi memastikan projek rakyat yang dirancang siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Oleh Adi Safarman