KABONG, 29 Nov: Isu gangguan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang sering membelenggu penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menjadi antara keutamaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nor-E-Fadzwie Salleh sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, masalah yang disifatkan sebagai ‘penyakit tiga serangkai’ itu perlu ditangani secara berterusan bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat.
Menurutnya, aspek konektiviti, khususnya capaian telekomunikasi dan internet, perlu diberikan perhatian serius kerana turut mempengaruhi kelancaran proses pendidikan, terutama dalam kalangan pelajar dan mahasiswa.
“Tanpa konektiviti, kita bayangkan pelajar hendak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) pun susah. Begitu juga mahasiswa yang perlu berhubung dengan pensyarah untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Saya sendiri mengalami keadaan capaian internet yang sekejap ada dan sekejap tiada. Insya-Allah, masalah air pula akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan futsal anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nor-E yakin usaha menangani isu kemudahan asas berkenaan dapat diteruskan menerusi kesinambungan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Katanya, usaha dan perancangan terdahulu perlu dijadikan asas untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur di Kabong, khususnya bagi memastikan penduduk tidak terus berdepan masalah bekalan air, elektrik dan capaian internet.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur asas perlu bergerak seiring dengan kemajuan pendidikan dan ekonomi supaya seluruh lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh.
Turut hadir ialah bekas ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Oleh Adi Safarman




