Abang Johari sasar GPS menang 82 kerusi, 80 pun disyukuri

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Ahang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Pusat Pemula dan Digital Satok, malam ini.

PETRA JAYA, 29 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyasarkan untuk memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, meskipun mengakui sasaran itu bukan sesuatu yang mudah dicapai.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS bagaimanapun tetap bersyukur sekiranya berjaya memperoleh 80 kerusi, berbanding 76 kerusi yang dimenangi pada PRN 2021.

Beliau berkata, pencapaian GPS pada pilihan raya lalu menunjukkan peningkatan apabila gabungan itu memenangi 76 kerusi berbanding 72 kerusi pada pilihan raya sebelumnya.

“Kalau dapat, kita sasarkan untuk menang kesemua 82 kerusi. Walaupun mungkin tidak dapat, kita cuba.

“Mudah-mudahan kali ini, kalau tidak dapat 82, 80 kerusi pun kita bersyukur juga berbanding 76 kerusi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pemula dan Digital Satok di sini, malam ini.

Beliau turut mengulangi sasaran berkenaan ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, sambil menjelaskan bahawa kemenangan keseluruhan kerusi merupakan sasaran kempen, manakala pencapaian sebenar hanya akan diketahui selepas pilihan raya.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut merakamkan tahniah kepada penduduk Satok dan calon GPS bagi kerusi DUN berkenaan, Datuk Ibrahim Baki, yang menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon.

Menurutnya, GPS mencatatkan kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi pada PRN kali ini.

Abang Johari berkata, jumlah kemenangan tanpa bertanding pada awalnya dijangka mencecah 30 kerusi, namun berubah selepas seorang calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) mengemukakan pencalonan bagi kerusi DUN Stakan kira-kira 15 minit sebelum proses penamaan calon ditutup.

“Pada mulanya saya dapat maklumat 30. Tetapi ada orang masuk di Stakan kira-kira 15 minit sebelum proses penamaan calon ditutup. Jadi, Stakan yang pada mulanya tanpa bertanding, akhirnya ada calon PBK dan jumlahnya menjadi 29,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya meneruskan usaha kempen bagi mencapai sasaran berkenaan, selain memastikan Sarawak terus kekal aman dan maju demi masa depan negeri.

Oleh Shahrul Qaizat