PRN13: Suasana kempen lebih sederhana, lautan bendera semakin jarang kelihatan

Facebook
WhatsApp
SUASANA kempen PRN13 di sekitar Miri dilihat lebih sederhana apabila bendera parti politik tidak lagi sebanyak pilihan raya terdahulu.

MIRI, 29 Nov: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 kali ini memperlihatkan suasana berbeza berbanding pilihan raya terdahulu apabila bendera parti politik yang lazimnya menghiasi jalan raya dan kawasan tumpuan awam semakin kurang kelihatan.

Jika sebelum ini deretan bendera berwarna-warni menjadi antara pemandangan biasa sepanjang tempoh berkempen, suasana kali ini dilihat lebih sederhana tanpa hiasan kempen yang begitu ketara di kebanyakan lokasi.

Tinjauan di beberapa kawasan sekitar Miri mendapati jumlah bendera parti yang dipasang tidak begitu banyak, khususnya di sepanjang jalan utama, persimpangan dan kawasan komersial.

Perubahan itu memberikan gambaran berbeza terhadap landskap kempen pilihan raya kali ini, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kemeriahan bahan kempen yang menghiasi ruang awam.

Keadaan tersebut mungkin dipengaruhi oleh jumlah parti politik yang bertanding, selain pendekatan kempen yang digunakan oleh setiap calon.

Bagaimanapun, kurangnya bendera parti di jalan raya tidak semestinya mencerminkan tahap kemeriahan atau sokongan terhadap kempen yang berlangsung.

Hal ini kerana persaingan pilihan raya turut bergantung pada pendekatan calon mendekati pengundi, aktiviti turun padang serta sambutan masyarakat setempat.

Jika dahulu lautan bendera menjadi antara simbol kemeriahan musim pilihan raya, PRN13 kali ini memperlihatkan suasana yang lebih sederhana.

Oleh Liong Chai Ling