Mohamad Shafizan tinjau keadaan jambatan uzur di Kampung Tebelu

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Shafizan sedang membuat tinjauan keadaan beberapa buah jambatan yang uzur di Kampung Tebelu. Foto P201 Batang Lupar

SEBUYAU, 29 Nov: Keadaan beberapa jambatan uzur di Kampung Tebelu, Sebuyau mendapat perhatian Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menerusi satu tinjauan bagi menilai keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan berkenaan.

Tinjauan itu bertujuan menilai keadaan sebenar jambatan yang menjadi laluan penting penduduk kampung untuk menyeberang serta menghubungkan kawasan kediaman mereka dengan laluan utama.

Mohamad Shafizan berkata, keadaan jambatan berkenaan perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan kemudahan itu merupakan antara infrastruktur asas yang penting dalam kehidupan seharian masyarakat setempat.

“Keselamatan dan keselesaan penduduk perlu menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi apabila jambatan ini digunakan setiap hari sebagai laluan penghubung bagi urusan harian mereka.

“Kita perlu melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan supaya keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan dapat dikenal pasti serta diberi perhatian oleh pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengenal pasti keperluan infrastruktur di kawasan kampung penting bagi memastikan kemudahan asas sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan boleh digunakan oleh penduduk.

Tinjauan itu diharap dapat menarik perhatian pihak berkaitan terhadap keperluan menaik taraf jambatan berkenaan demi menjamin keselamatan, kelancaran pergerakan dan kesejahteraan penduduk Kampung Tebelu.

Turut menyertai tinjauan itu ialah Ketua Kaum Kampung Hilir Tebelu, Fauzi Lias dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu, Seri Anis.

Oleh Adi Safarman