KUCHING: Semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi identiti Sarawak perlu terus dipelihara oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang demi menjamin kemajuan serta kesejahteraan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, majlis yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi lambang keharmonian yang telah lama menjadi kekuatan Sarawak.
Menurut beliau, rakyat Sarawak sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati serta hidup dalam suasana aman dan bersatu padu walaupun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
“Perpaduan merupakan aset paling berharga yang dimiliki oleh negeri kita. Keharmonian yang dikecapi hari ini perlu terus dipelihara melalui sikap saling memahami, bertoleransi serta menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Persatuan Penganut Buddha Nam Hoi Kuan Yin, Kota Sentosa yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, semalam.
Hamzah berkata, hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum dan agama yang telah lama diamalkan di Sarawak menjadi contoh terbaik dalam memastikan kestabilan sosial terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya saling menghormati perlu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda supaya nilai perpaduan yang diwarisi sejak sekian lama dapat dikekalkan pada masa hadapan.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf infrastruktur Tokong Nam Hoi Kuan Yin sebagai tanda sokongan terhadap usaha persatuan menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada para penganut dan masyarakat setempat.
Menurutnya, peruntukan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan kepada semua pengunjung yang menggunakan premis berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penganut Buddha Nam Hoi Kuan Yin, Kota Sentosa atas jemputan serta layanan yang diberikan sepanjang majlis berlangsung.
Hamzah juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama tinggi dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir ialah ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Kaunselor Daily Joseph, Pengerusi Persatuan Penganut Buddha Nam Hoi Kuan Yin, Kota Sentosa, Goh Beng Huat serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Yeo Siaw Ping dan Datuk Kiung Choi Hin.
Oleh Adi Safarman




