BINTANGOR, 25 November: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Sarikei semalam selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkaitan kes kecurian di sebuah kedai.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, tertuduh, dihadapkan ke mahkamah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Katanya, kes tersebut membabitkan laporan polis Bintangor/2464/2026 yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri di dalam sebuah kedai.
“Semasa prosiding mahkamah, tertuduh telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.
“Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 serta hukuman penjara selama satu bulan bagi pertuduhan pertama dan empat bulan bagi pertuduhan kedua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tansli berkata, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh direman.
“Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda yang dikenakan mahkamah dan akan menjalani hukuman penjara berikutan kegagalan tersebut serta dihantar ke Penjara Sibu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menghormati undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Oleh Earl Anek




