KUCHING: Ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dijangka berlaku di kawasan tengah Sarawak sehingga 30 Januari ini.
Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan itu dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 29 Januari ini,” katanya dalam kenyataan, satu hari ini.
Helmi berkata, ramalan itu dibuat berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka sehingga 30 Januari depan.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung dan Sabah dalam tempoh tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Oleh NICKELYSON LAKUN