SAN FRANCISCO: Lebih 3,000 penerbangan dibatalkan semalam, manakala ribuan lagi mengalami kelewatan akibat kejadian ribut di selatan Amerika Syarikat (AS), lapor syarikat penerbangan dan laman sesawang pemantau FlightAware.
Delta Airlines berkata, ‘gabungan cuaca sejuk lebih teruk berbanding jangkaan’ menyebabkan penutupan semua landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta, selama lebih dua jam.
“Delta membatalkan kira-kira 1,100 penerbangan di seluruh rangkaian kami semalam,” kata syarikat penerbangan itu yang sedang ‘berusaha memulihkan keadaan menjelang hari Sabtu’.
Sebuah pesawat Delta juga terpaksa membatalkan percubaan berlepas dari Atlanta akibat masalah enjin.
Lebih 200 penumpang dan anak kapal Boeing 757-300 terpaksa keluar melalui slaid kecemasan, lapor media AS yang memetik kenyataan syarikat itu.
Berdasarkan FlightAware, Dallas Fort Worth (Texas) dan Charlotte Douglas (North Carolina) turut terjejas akibat cuaca buruk dengan lebih 1,200 penerbangan dibatalkan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.
Laman sesawang pemantau itu merekodkan lebih 3,000 penerbangan dibatalkan secara keseluruhan di pelbagai lapangan terbang, semalam.
AS dilanda ribut musim sejuk pada awal minggu ini mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan ratusan penerbangan dibatalkan ketika ia melanda pusat bandar dan timur kawasan itu.
Suhu direkodkan pada tahap -18 darjah Celsius di beberapa tempat dan puluhan ribu orang terjejas dengan gangguan bekalan elektrik.- AFP