Indonesia tamatkan operasi mencari wartawan yang hilang ketika menjalankan tugasan di gunung berapi

Facebook
WhatsApp
BUNGA dan mesej takziah menghiasi foto wartawan serta kru bot laju yang hilang ketika membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau, sejurus selepas operasi mencari secara rasmi ditamatkan di pusat kawalan SAR di Marina Carita, Pandeglang, Banten, pada 17 September 2026. Foto AFP

INDONESIA:  Pihak berkuasa Indonesia secara rasmi menamatkan operasi mencari lapan individu, termasuk lima wartawan yang dihantar untuk membuat liputan letusan gunung berapi, hampir dua minggu selepas bot laju yang dinaiki mereka dilaporkan hilang di perairan antara pulau Jawa dan Sumatera, menurut seorang pegawai.

“Dengan hati yang berat, operasi mencari dan menyelamat bersama… dengan ini diisytiharkan tamat kerana operasi berkenaan dianggap tidak lagi berkesan,” kata Gabenor Banten, Andra Soni, kepada pemberita.

“Sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat bersama sehingga hari ke-10, termasuk lanjutan selama tiga hari, dilaporkan tiada sebarang petunjuk ditemui mengenai kapal, penumpang atau anak kapal yang berada di dalamnya.”

Lima wartawan Indonesia yang berada di dalam bot itu dihantar untuk merakam foto dan video letusan Gunung Anak Krakatau yang menyebabkan beberapa bandar diselubungi abu gunung berapi serta mendorong beberapa lapangan terbang ditutup.

ISTERI wartawan yang hilang bereaksi selepas mendengar bahawa operasi mencari secara rasmi ditamatkan di pusat kawalan mencari dan menyelamat (SAR) di Marina Carita, Pandeglang, Banten, pada 17 September 2026. Foto AFP

Mereka bertugas untuk media tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi berita negara Antara, agensi berita milik kerajaan Turkiye, Anadolu, serta laman sesawang tempatan iNews.

Kumpulan berkenaan, yang turut terdiri daripada dua anak kapal dan seorang pemandu, bertolak menaiki bot laju dari kawasan di barat ibu negara Jakarta pada petang 7 September, namun hubungan dengan mereka terputus tidak lama kemudian di suatu lokasi di Selat Sunda.

Wartawan berkenaan ialah Muhammad Bagus Khoirunas, 28, Firdaus Wajidi, 42, Donal Husni, 50, Arie Basuki, 52, dan Yudistiro Pranoto. Mereka ditemani jurumudi Warta, 55, anak kapal Surakman, 60, serta pemandu Heriyanto, 49.

Firdaus bertugas terutamanya untuk Anadolu dan turut bekerja secara bebas dengan AFP.

Agensi mencari dan menyelamat pada Rabu berkata sebanyak 22 aset tentera laut dikerahkan untuk melakukan pencarian di kawasan seluas lebih 3,400 batu nautika persegi.

Kemalangan laut sering berlaku di kepulauan Asia Tenggara itu, antara lain disebabkan standard keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca buruk.

Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 129 lagi masih hilang selepas sebuah kapal penumpang yang membawa 243 orang terbalik pada awal pagi Ahad ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur, ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan pertembungan plat benua yang menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi. – AFP