Remaja 18 tahun maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Canna

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Canna, Kuching, mengorbankan seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun, semalam.

KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut yang mengorbankan seorang remaja berusia 18 tahun di Jalan Canna supaya tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 12.25 tengah hari semalam, seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, iaitu Perodua Bezza, lori jenis HCC dan motosikal Modenas Kriss di Jalan Canna, di sini.

Alexson berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan yang datang dari arah lampu isyarat Jalan Stutong Baru hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Bezza.

Menurutnya, penunggang motosikal itu kemudian terjatuh sebelum diheret oleh lori yang sedang bergerak lurus di lorong kanan.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu Perodua Bezza dan lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Muhammad Tamimi Majni, di talian 017-204 6414 atau 082-259900. Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Oleh Connie Chieng