KUCHING: Dua lelaki dewasa terselamat selepas van yang membawa muatan barang terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran Sweet Heart Supermarket, Jalan Song, di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.36 petang.
“Setibanya di lokasi pada 5.45 petang, pasukan bomba mendapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah van yang membawa muatan barang.
“Dua mangsa lelaki dewasa berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Seorang mangsa mengalami kesakitan pada tangan kanan, manakala seorang lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiada operasi menyelamat dijalankan selepas kedua-dua mangsa berjaya keluar dari kenderaan.
Keadaan di lokasi disahkan selamat sebelum pasukan bomba beredar dan kembali ke balai pada 6.20 petang.




