Kembara Kerjaya SPA Miri tawar peluang terokai kerjaya sektor awam

Facebook
WhatsApp
POSTER Kembara Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Miri yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya Miri, Sabtu ini.

MIRI: Program Kembara Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Miri, Sabtu ini, membuka peluang kepada pencari kerja untuk mendapatkan maklumat dan meneroka kerjaya dalam sektor awam.

Program berkenaan dijadualkan diadakan di Stadium Bandaraya Miri pada 22 Ogos 2026, bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kembara Kerjaya SPA Miri turut menyediakan ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang kerjaya serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh SPA.

Selain itu, calon yang berhasrat menjalani Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) berpeluang menduduki ujian secara walk-in pada hari yang sama.

UFPK berkenaan akan bermula seawal 7.30 pagi dan berlangsung sehingga selesai, sekali gus memudahkan calon yang ingin menjalani pemeriksaan tersebut.

Orang ramai yang berminat menghadiri program itu boleh membuat pengesahan kehadiran menerusi kod QR yang disediakan dalam hebahan rasmi program. Pendaftaran secara terus (walk-in) bagi UFPK turut dibuka kepada calon yang memenuhi syarat.

Program Kembara Kerjaya SPA Miri dijangka menjadi platform bermanfaat, khususnya kepada pencari kerja dan individu yang berminat mendapatkan penerangan secara terus mengenai peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam.

Oleh Liong Chai Ling