Penunggang motosikal maut terbabas masuk parit di Jalan Nyabau

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari dalam parit selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Nyabau, petang tadi. Foto BBP Kidurong

BINTULU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Nyabau, berhadapan Sarawak Water, di sini, petang tadi.

Mangsa yang berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.36 petang sebelum mengerahkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi.

MANGSA kemalangan kendiri motosikal ditemukan di bahu Jalan Nyabau, Bintulu, hari ini. Foto BBP Kidurong

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam parit.

“Anggota kemudian mengeluarkan mangsa dari parit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Carolyne Utih