SIBU: Dua ahli perniagaan yang disyaki terlibat dalam rasuah bagi memonopoli semua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di negeri ini sejak 2006 telah direman selama satu hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan.
Suspek yang berusia 60 dan 65 tahun itu diwakili oleh Clement Hii, Alexander Ling dan Darren Ling.
Mereka adalah antara enam individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara jam 7 pagi hingga tengah hari di beberapa lokasi di Sarawak dalam satu operasi khas semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dalam satu laporan semalam mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Siasatan awal mendapati bahawa monopoli itu telah aktif sejak 2006 dengan kontraktor didakwa membenarkan penggunaan lesen mereka sebagai pertukaran komisen sehingga 10 peratus daripada nilai projek.
Jurutera awam itu dikatakan menerima bayaran kerana membantu mendapatkan projek dari jabatan yang terlibat.
SPRM juga merampas sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai kira-kira RM450,000 serta barang kemas.
Oleh AKUN GIMAN