Lelaki ditahan disyaki khianat kabel di Kuching

Facebook
WhatsApp
BUKTI…Suspek bersama tukul yang dipercayai digunakan dalam kejadian khianat terhadap kabel di Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, Kuching. Foto FB Polis Daerah Kuching

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian khianat terhadap kabel di Jalan Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching di kawasan Kampung Bintawa Ulu kira-kira 5.40 petang semalam.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan diterima pada hari sama berhubung kejadian seorang individu mencuri kabel di kawasan berkenaan yang turut dirakam menerusi video berdurasi 25 saat dan tular di media sosial.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi pada 10 September apabila suspek dipercayai melakukan khianat terhadap kabel menggunakan sebilah tukul.

Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau, manakala saringan awal air kencing turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mancha Subak di talian 019-5958260 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444.

Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan usaha membanteras jenayah di daerah Kuching.