LONDON: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford hampir pasti menyertai Aston Villa secara pinjaman, menurut laporan media hari ini.
Villa mula berusaha untuk mendapatkan Rashford selepas menjual penyerang Colombia, Jhon Duran kepada kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr semalam.
Pemain berusia 27 tahun itu dikaitkan dengan AC Milan dan Barcelona manakala wakilnya turut dipercayai sudah melakukan perbincangan bersama Tottenham dan West Ham ketika jendela perpindahan Januari.
Pertukaran sementara ke Villa bakal membolehkan dirinya kembali memulihkan reputasi yang tercalar selepas tampak menurun sejak dua tahun lalu.
Villa pula boleh meraih manfaat daripada Rashford pada ketika mereka ingin mencabar penamat empat teratas Liga Perdana, selain turut bersaing dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Pengendali Villa, Unai Emery tampak pasti akan diajukan soalan mengenai minat terhadap Rashford apabila pasukannya dijadual bertemu Wolves dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi esok.
Rashford sebelum ini bersedia untuk meninggalkan Old Trafford sejak mengakui mahu mencari ‘cabaran baharu’ selepas diketepikan pengendali United, Ruben Amorim untuk derbi Manchester pada Disember.
Sejak daripada itu, bintang England itu terlepas kesemua 12 perlawanan United, dengan Amorim baru-baru ini tampak hilang sabar dengan Rashford dengan berkata, dia lebih berminat menamakan jurulatih penjaga gol berusia 63 tahun untuk berada dalam skuadnya.
Amorim pada minggu ini berkata, Rashford harus mengubah cara dirinya secara menyeluruh untuk menamatkan ‘pengasingannya’.
Namun kini, Rashford seakan bakal memenuhi ‘impiannya’ untuk keluar daripada United sebelum tarikh akhir jendela pemindahan Isnin ini. – AFP