MUNICH, Jerman: Jamal Musiala menjaringkan gol pembukaan manakala Michael Olise meledak dua gol ketika Bayern Munich meraih kemenangan selesa 5-0 ke atas Bodo/Glimt dalam aksi Liga Juara-Juara.
Harry Kane dan Alphonso Davies turut mencetak nama sebagai penjaring untuk juara Eropah enam kali itu, namun malam tersebut menjadi milik Musiala yang diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol dalam penampilan semulanya sebagai kesebelasan utama.
Pemain antarabangsa Jerman itu terlepas dua perlawanan selepas mendedahkan bahawa beliau mengalami masalah neurologi yang menyebabkan dirinya rebah di atas padang dalam dua aksi persahabatan pramusim Bayern.
“Menjaringkan gol adalah satu kegembiraan yang sukar digambarkan,” kata Musiala kepada DAZN mengenai jaringannya.

“Saya hanya mahu kembali beraksi dengan baik… Saya mahu kembali ke tahap permainan saya secara berperingkat, bermain dengan lebih tenang, gembira dan menikmati setiap saat di atas padang.”
Kane memuji rakan sepasukannya itu, dengan memberitahu pemberita bahawa Musiala “melalui tempoh sukar pada awal musim.
“Amat menggembirakan melihat senyuman di wajahnya. Dia boleh berbangga dengan dirinya sendiri.”
Kemenangan itu meneruskan rekod luar biasa Bayern dengan 24 kemenangan berturut-turut dalam
perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara sejak 2002.
Bodo, yang mencipta kejutan dalam Liga Juara-Juara musim lalu apabila mara ke pusingan 16 terakhir, bertahan dengan baik tetapi bergelut pada babak kedua sebelum akhirnya kehilangan Odin Bjortuft yang dilayangkan kad merah terus kerana melakukan kekasaran sebagai pemain terakhir tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Musiala merupakan antara tiga perubahan yang dilakukan jurulatih Bayern, Vincent Kompany, dalam kesebelasan utama berbanding aksi seri tanpa jaringan dengan Schalke pada Sabtu, selain kemasukan semula Kane dan Olise.
Juara Jerman itu berdepan kesukaran menembusi pertahanan rapat Bodo pada babak pertama dan gagal mencipta peluang jelas.
Pertahanan Bodo akhirnya ditembusi pada awal babak kedua apabila Musiala menyambar bola daripada percubaan Kane yang terkena pemain lawan sebelum melepaskan rembatan ke penjuru jauh gawang.
Kane menambah jaringan selepas sejam permainan, menanduk masuk sepakan percuma Olise untuk melanjutkan rekod jaringan dalam lapan perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut.
Bayern kemudian menguasai permainan pada penghujung perlawanan dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh 15 minit terakhir.
Davies melepaskan rembatan jarak jauh yang menarik untuk menewaskan penjaga gol lawan ketika perlawanan berbaki 13 minit, sebelum Olise menyusul enam minit kemudian menerusi rembatan menakjubkan dari jarak 25 ela yang menerjah penjuru kiri atas gawang.
Pemain sayap Perancis itu kemudian melengkapkan malam cemerlangnya dengan satu lagi penyudah menarik pada masa kecederaan, sekali gus menyerlahkan dominasi Bayern pada babak kedua. – AF




