KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Hangar Hornbill Skyways di sini, 1.35 tengah hari tadi.
Berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor tengah hari tadi, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi ke Kuala Lumpur bagi memenuhi undangan rasmi majlis berbuka puasa di sekitar bandar raya Kuala Lumpur serta berpeluang mengeratkan silaturahim bersama keluarga, dan sanak saudara.
Tun Wan Junaidi menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan sepanjang lawatan tersebut berjalan lancar serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyambut dan melancarkan atur cara lawatan di Kuala Lumpur.
Terdahulu, semalam, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, menghadiri majlis bersungkei yang diadakan di Grand Ballroom, Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre.
Majlis ini menjadi kesempatan bermakna bagi Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan untuk berkumpul serta mengeratkan silaturahim bersama ahli keluarga dan kaum kerabat dari Semenanjung Malaysia.
Turut hadir ialah bonda Toh Puan, Mahni Aman, adik beliau Wan Sarkawi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Sharifah Aisyah Rahanah Tuanku Taha, serta Mohd. Faizul Azhar Mohd. Sanusi bersama isteri, Rohizan Othman.
Turut hadir anak Tun Wan Junaidi, Sharifah Nuril bersama suami, David, serta cucu-cucu mereka, Athena dan Feona Elsie, yang sedang menuntut di Kuala Lumpur.
Majlis ini bukan sahaja menghimpunkan ahli keluarga, tetapi turut diserikan dengan kehadiran wakil Persatuan Rabithah Alawiyah Malaysia dari Johor dan Pertubuhan Ahlulbait BenYahya Malaysia dari Terengganu.
Selain itu, rakan-rakan baik Toh Puan bersama keluarga mereka turut hadir, menjadikan perhimpunan ini lebih bermakna dalam suasana penuh semangat kekeluargaan dan persaudaraan.
Sebelum berbuka puasa, Tun Wan Junaidi, dan Toh Puan bersama para tetamu menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Mohd. Rusydi Wan Yusup.
Walaupun pertemuan ini berlangsung dalam tempoh yang singkat, ia memberi ruang untuk bertukar cerita, mengimbau kenangan, serta mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin.
Dalam kesibukan urusan harian, majlis seperti ini menjadi wadah penting untuk kembali mendekatkan diri dengan insan-insan tersayang.
Sebelum berangkat pulang, Run Wan Junaidi, dan Toh Puan turut meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama para tetamu sebagai tanda penghargaan terhadap hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang terus erat terjalin.
Terdahulu, pada hari sama, Tun Wan Junaidi menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Solat Jumaat telah dipimpin oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Mohd. Isa.
Turut bersama dalam jemaah ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki serta Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.
Turut serta dalam solat berjemaah sahabat lama Tun Wan Junaidi, Shahbudin Embun.
Selepas solat, Tun Wan Junaidi meluangkan masa untuk beramah mesra dengan para jemaah dan berkesempatan bergambar bersama mereka.
Dalam pertemuan ini, Tun Wan Junaidi mendoakan agar Allah Subhanahu Wata’ala mempermudahkan segala urusan, melapangkan hati, serta melimpahkan keberkatan dan rezeki kepada semua.