LIMBANG: Limbang bakal mempunyai kemudahan rangkaian jalan perhubungan yang lengkap menjelang 2030.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata ia termasuk projek Lebuh Raya Trans Borneo, Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) serta Lebuh Raya Pesisir Utara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu turut menjelaskan, rangkaian jalan raya ini amat penting untuk menghubungkan Lawas, Limbang terus ke Miri tanpa melalui negara Brunei, atau menggunakan jalan di negara jiran ke Miri mahupun Lawas.
“Tiga jaringan jalan raya utama SSLR, Trans Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Utara itu akan menjadi ejen perubahan efektif untuk Limbang dan terdekat rangkaian itu ialah Jambatan Sungai Limbang kedua yang akan menjadi jambatan ikonik dan kita jangka akan siap suku ketiga tahun 2025,” katanya ketika ditemui selepas majlis penangguhan Hari Belia dan Limbang Motor Day 2.0 di Lapangan Rekreasi Limbang semalam.
Menurutnya, ia adalah antara keutamaan dan agenda utama pembangunan di utara Sarawak dalam usaha meningkatkan jalinan perhubungan dan pembangunan lain.
Projek pembangunan itu diteruskan untuk dilaksanakan pada tahun depan bagi memastikan Limbang dan Lawas terus terjalin dengan kawasan lain di Sarawak dalam usaha menyokong pembangunan yang berterusan.
Oleh ADENG EDRUS