KUALA LUMPUR, 7 November: Lebih empat dekad bergelar anak seni, pelakon veteran Datuk Seri Raja Rezza Shah berharap penggiat industri seni tanah air terus meningkatkan tahap profesionalisme di set penggambaran agar kebajikan dan keselesaan pengamal seni sentiasa terpelihara.
Raja Rezza Shah yang memulakan kerjaya lakonannya pada 1982, berkata pelakon tempatan mempunyai bakat luar biasa kerana mampu memberikan persembahan terbaik meskipun berdepan pelbagai kekangan termasuk jadual penggambaran yang tidak teratur dan kemudahan asas yang kurang memuaskan.
“Saya sudah berumur 65 tahun. Sebelum meninggal dunia, saya teringin juga merasai pengalaman sebagai pelakon yang dilayan seperti seorang bintang.
“Bukan layanan istimewa, maksud saya, semuanya teratur dan profesional. Jangan sampai pelakon yang hendak berehat pun tidak mempunyai tempat duduk. Semua perkara ini perlu diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Islamic Fashion Festival (IFF) Kuala Lumpur 2026 baru-baru ini.

Beliau yang juga pengasas dan pengerusi IFF itu, berkata kekangan berkenaan bagaimanapun tidak menghalang pelakon tempatan memberikan persembahan terbaik, malah menyifatkan kemampuan mereka menghasilkan lakonan berkualiti dalam keadaan serba mencabar sebagai sesuatu yang wajar dihargai.
“Saya hendak berpesan kepada semua penonton, hargailah pelakon-pelakon Malaysia kerana mereka ini hebat. Dalam keadaan yang sangat terdesak dan sukar, mereka masih mampu berlakon dengan baik,” katanya.
Meskipun kini sibuk dengan pelbagai urusan termasuk penganjuran acara fesyen antarabangsa, pelakon filem Ali Setan itu mengakui kecintaannya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar, malah sentiasa menghargai peluang berada di set penggambaran bersama-sama rakan artis lama dan baharu.
“Sebab kita ini pelakon, memang suka berlakon… macam orang menulis yang suka menulis. Saya suka berada di set bersama-sama rakan-rakan artis dan berkawan dengan pelakon baharu. Tawaran itu memang ada, cuma tahun ini saya hanya berlakon tiga kali kerana jadual yang agak padat dengan pelbagai urusan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Raja Rezza Shah turut menasihati pelakon generasi baharu agar sentiasa merendah diri dan mengambil inisiatif menimba ilmu daripada penggiat seni senior bagi memantapkan kemahiran serta membina kerjaya dalam industri.
Menurut pelakon drama bersiri Tuan Anas Mikael itu pengalaman dan ilmu daripada penggiat seni terdahulu penting bagi membantu pelakon baharu memahami kemampuan diri, selain mengelakkan mereka daripada bersikap terlalu yakin atau merendahkan kebolehan sendiri.
“Dulu masa mula-mula bertapak, saya sendiri berusaha pergi ke Singapura semata-mata mahu berjumpa dengan nama-nama besar seperti Allahyarham Datuk S. Roomai Noor, Allahyarham Datin Umi Kalthum, Datuk Dr Sarimah Ahmad dan Allahyarham Siput Sarawak untuk menimba ilmu.
“Kita kena tahu langit itu tinggi atau rendah supaya kita tidak meletakkan diri terlalu tinggi atau terlalu rendah. Jadi amat penting untuk kita berkenalan dan belajar daripada orang yang lebih dulu berada dalam industri ini,” katanya.- Bernama





