Bekas gitaris Duran Duran Andy Taylor meninggal dunia pada usia 65 tahun

Facebook
WhatsApp
BEKAS gitaris kumpulan rock Duran Duran, Andy Taylor meninggal dunia pada usia 65 tahun pada Isnin selepas sekian lama berjuang melawan kanser prostat.

LONDON, 26 November: Bekas gitaris Duran Duran, Andy Taylor meninggal dunia pada usia 65 tahun selepas sekian lama berjuang melawan kanser prostat, lapor PA Media/dpa memetik pengumuman kumpulan muzik itu.

Taylor mula menempa nama sebagai anggota kumpulan rock yang memenangi pelbagai anugerah pada 1980-an, yang terkenal menerusi lagu seperti Hungry Like The Wolf dan Rio.

Beliau meninggal dunia di kediamannya pada Isnin, di sisi ahli keluarga.

“Di mata dunia, Andy ialah seorang gitaris yang hebat, namun bagi kami, beliau ialah suami yang luar biasa, bapa penyayang dan datuk yang sangat bangga dengan cucu-cucunya.

“Beliau tonggak keluarga kami. Di sebalik segala pengalaman luar biasa yang diraihnya menerusi muzik, keluarga sentiasa menjadi keutamaan.

“Tiada yang lebih membahagiakannya selain melihat kami semua berkumpul dan sejauh mana pun muzik membawanya pergi, hatinya sentiasa bersama keluarga,” kata Tracey Wilson yang merupakan isterinya selama lebih 40 tahun berkata:

Wilson berkata Taylor mengharungi beberapa tahun terakhir kehidupannya dengan penuh keberanian dan keazaman, serta terus berjuang hingga ke akhir hayat.

“Kebaikan dan sokongan yang dicurahkan oleh peminat dari seluruh dunia sepanjang beliau menghidap penyakit itu memberikan ketenangan dan kekuatan yang amat besar kepadanya, dan atas semua itu kami akan sentiasa berterima kasih.

“Andy tahu betapa dirinya disayangi dan hakikat itu memberikan ketenangan kepada kami. Kami akan merinduinya setiap hari,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, anggota kumpulan itu Simon Le Bon, John Taylor, Nick Rhodes dan Roger Taylor berkata Andy bersama mereka sejak awal penubuhan Duran Duran dan kembali menyertai kumpulan itu apabila lima anggota asalnya bersatu semula pada awal 2000-an.

“Petikan gitarnya menjadi penggerak kepada lagu-lagu yang membawa kami menjelajah dunia. Dengan jenaka bersahaja serta pandangan hidupnya yang realistik dan terus terang, beliau memastikan kami sentiasa berpijak di bumi nyata dan memberikan identiti tersendiri kepada kumpulan ini sepanjang tahun-tahun luar biasa yang menyusul,” menurut kumpulan itu.

 “Pemergian Andy Taylor meninggalkan kekosongan yang amat besar dalam hati saya. Kekosongan itu tidak akan pernah terisi dan saya tidak akan membiarkannya terisi. Saya akan merindui dan menyayanginya sepanjang hayat,” kata vokalis utama Le Bon. – Bernama-PA Media/dpa