RUPA paras dan populariti hanya bersifat sementara, sebaliknya kejujuran serta disiplin kerja yang tinggi adalah kunci sebenar buat seseorang anak seni untuk terus bertahan dan kekal diingati sepanjang zaman.
Prinsip itulah yang dipegang pelakon veteran Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa Kak Ogy, sepanjang lebih lima dekad mengabdikan diri dalam industri hiburan dan kekal relevan hingga kini.
Mengakui zaman mudanya dipenuhi pujian kerana kejelitaan wajah dan populariti yang diraih menerusi filem seperti Azura, Ali Setan dan Suara Kekasih, seniwati berusia 64 tahun ini berkata kesemua itu cuma tinggal sebagai kenangan manis.
“Kita kena terima hakikat yang kita semua semakin menua dan rupa pun berubah mengikut usia. Itulah lumrah manusia yang tak boleh dinafikan, kita harus terima.
“Tetapi, jika kita mempunyai disiplin yang tinggi dan jiwa yang jujur semasa bekerja, itu yang akan membawa nama anda terus disebut orang sampai bila-bila,” katanya kepada Bernama selepas menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini.

Menitip nasihat, Fauziah berkata seseorang pelakon juga seharusnya memahami keseluruhan naskhah, termasuk jalan cerita sebelum menerima watak yang ditawarkan, agar lakonan tampak realistik.
Kesungguhan untuk melihat pelapis industri memahami asas lakonan itu mendorong Bintang Paling Popular ABPBH 1987 berkenaan berehat daripada dunia lakonan selama dua tahun, semata-mata bagi mengendalikan bengkel lakonan.
Mengulas kejayaan meraih trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35, beliau menyifatkan kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Datin Saadiah dan seniman legenda Allahyarham Datuk Ahmad Daud sebagai tunjang utama di sebalik kemampuannya bertahan dalam bidang lakonan.
Fauziah berkata ibunya juga memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan seninya dengan sentiasa mendorong beliau menimba ilmu daripada barisan guru yang hebat.
“Kata-kata mak dan ayah sampai sekarang saya pegang, ‘Kalau Fauziah tidak menjaga bakat ini dengan betul-betul, Allah akan ambil balik kerana bakat ini bukan hak Fauziah, ia hak Allah, dipinjamkan sahaja’.
“Oleh sebab itulah saya terlalu berjaga-jaga dengan bakat ini dan mungkin kerana itu jugalah saya terpanggil untuk menegur serta mengkritik mereka yang sambil lewa memasuki persada seni tanpa menyedari betapa bertuahnya mereka terpilih menjadi penggiat seni,” katanya.
Anugerah itu yang menyaksikan beliau turut membawa pulang wang tunai RM10,000 merupakan trofi kelima dirangkulnya di FFM selepas Pelakon Harapan Terbaik FFM 1980, Pelakon Wanita Terbaik FFM 1985/1986 dan 1987 serta Pelakon Pembantu Terbaik FFM 2016. – Bernama



