SIBU: Prihatin akan kebajikan ahli seperti ahli yang meninggal dunia, Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS) akan berusaha untuk menaikkan Bantuan Khairat Kematian dari RM3,000 kepada RM5,000.
Presiden PVTMS Francis Yeo Wan Hui memberitahu bahawa, beliau akan mengusulkan perkara itu kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) untuk diberi perhatian.
“Kita akan cuba membawa usul ini kepada pihak atasan JHEV agar dapat membantu meringankan beban balu dan waris yang ditinggalkan memandangkan kos sara hidup pada masa ini yang semakin meningkat.
“Oleh itu, kita memohon pertimbangan dari kerajaan untuk menaikkan Bantuan Khairat Kematian ini kepada RM5,000,” katanya pada sidang media, semalam.
Sementara itu, pada sidang media itu, Yeo menyampaikan Bantuan Khairat Kematian RM200 dari PVTMS kepada 10 orang ahli yang meninggal dunia yang diterima oleh balu atau waris veteran yang terlibat.
Jelasnya, pihak persatuan juga telah membantu para waris veteran menguruskan permohonan Bantuan Khairat Kematian daripada pihak kerajaan yang akan diuruskan oleh JHEV yang akan dibayar sebanyak RM 3,000 kepada waris yang terlibat.
Menurutnya, dana Bantuan Khairat Kematian diperolehi dari sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak kepada Tabung Hari Pahlawan sempena Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun.
Katanya, kutipan Tabung Pahlawan dilakukan untuk memberikan bantuan seperti bantuan persekolahan, perubatan, bencana alam, khairat kematian dan bantuan kepada balu dan anak yatim.
“Kutipan derma hanya akan dilakukan apabila mendapat kebenaran dari Kementerian Pertahanan.
“Bagi setiap derma yang kita kumpul, hasilnya akan diserahkan kepada JHEV sebelum diagihkan kepada penerima yang layak diseluruh Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengingatkan para balu atau waris agar sentiasa berhubung dengan pihak persatuan supaya pihak persatuan mengetahui kedudukan mereka dan dapat menyalurkan bantuan yang diperlukan khususnya bantuan kebajikan.
“Saya berharap agar bantuan yang disampaikan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad