
BANGKOK, Thailand: Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Mahidol, anak sulung kepada raja negara itu, telah mangkat pada usia 47 tahun, umum istana diraja pada Jumaat, lebih tiga tahun selepas beliau dimasukkan ke hospital akibat sakit secara tiba-tiba.
Beliau mengalami jangkitan abdomen dan “keadaannya terus merosot,” menurut Biro Rumah Diraja dalam satu kenyataan, sehingga beliau “menghembuskan nafas terakhir dengan tenang” pada petang Khamis.

Beliau akan disemayamkan di Istana Besar di Bangkok dan upacara pengebumian akan diadakan “dengan penghormatan tertinggi mengikut tradisi diraja,” tambah kenyataan itu.
Dikenali di Thailand sebagai “Puteri Bha”, beliau merupakan anak tunggal daripada perkahwinan pertama Raja Maha Vajiralongkorn dan telah berada di hospital sejak jatuh sakit secara tiba-tiba pada Disember 2022.
Biro Rumah Diraja pada Mei lalu memaklumkan bahawa keadaan kesihatannya semakin merosot dan beliau bergantung kepada peralatan perubatan untuk menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggang, serta ubat-ubatan.
Bajrakitiyabha ialah anak tunggal daripada perkahwinan pertama Raja Vajiralongkorn dengan Puteri Soamsawali.
Beliau merupakan seorang pendakwa raya dan diplomat terlatih, yang mendapat pendidikan di Britain, Thailand dan Amerika Syarikat, serta memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Cornell dan pernah berkhidmat sebagai duta Thailand ke Austria.
Dalam lawatan ke sekolah undang-undang di Amerika Syarikat pada 2012, beliau pernah menyatakan mengenai latar belakang profesionalnya: “Saya kini bertanya kepada diri sendiri, saya sebenarnya siapa? Pendakwa raya? Peguam jenayah? Diplomat? Jawapannya ialah semuanya sekali. Saya seorang ‘hibrid’,” menurut Cornell Chronicle.

Beliau turut memegang beberapa jawatan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi penyokong hak wanita, termasuk memperjuangkan keadaan yang lebih baik bagi wanita dalam penjara.
Sebagai puteri, Bajrakitiyabha memainkan peranan istiadat penting dalam masyarakat Thailand yang mana institusi diraja berada pada kedudukan tertinggi.
Beliau dilihat rapat dengan ayahandanya, dan dilantik ke jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadinya setahun sebelum beliau dimasukkan ke hospital.
Raja berusia 73 tahun itu, yang mempunyai tujuh anak hasil empat perkahwinan, belum mengumumkan pewaris takhta pilihannya, walaupun peraturan pewarisan memberi keutamaan kepada lelaki.
Peraturan ketat mengawal apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan mengenai keluarga diraja Thailand, yang dilindungi oleh undang-undang lese-majeste yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan. – AFP