Pusat Penyembelihan Ayam bakal pacu Bukit Saban jadi pengeluar utama ayam kacukan Sarawak

Facebook
WhatsApp
LAWATAN tapak cadangan pembinaan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam Bahagian Betong telah diadakan semalam. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Cadangan pembinaan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam Bahagian Betong bakal menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Bukit Saban antara kawasan pengeluar utama ayam kacukan di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pembangunan kemudahan berkenaan penting bagi melengkapkan rantaian industri ayam kacukan, bukan sahaja dari aspek penternakan malah merangkumi penyembelihan, pemprosesan dan pemasaran.

Menurutnya, usaha memperkukuh sektor itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan peningkatan pengeluaran turut disusuli keupayaan mengurus, memproses dan memasarkan hasil ternakan dengan lebih sistematik.

“Kalau kita mahu mengembangkan industri ayam kacukan di Bukit Saban, kita perlu membangunkan keseluruhan ekosistem daripada penternakan hingga kepada penyembelihan, pemprosesan dan pemasaran.

TINJAU tapak cadangan pembinaan Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Ayam Bahagian Betong ditinjau di Spaoh, semalam. Foto: Douglas Uggah Embas Official

“Dengan ada kemudahan seperti ini, kita berharap hasil penternak dapat diurus dengan lebih sistematik dan lebih banyak nilai dapat diwujudkan di peringkat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak yang dikenal pasti bagi cadangan pembangunan pusat berkenaan, semalam.

Tapak tersebut terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling dan dilihat mempunyai nilai strategik dari aspek perhubungan serta logistik bagi menyokong perkembangan industri ayam kacukan di kawasan berkenaan.

Lawatan itu turut disusuli perbincangan bersama agensi berkaitan bagi meneliti kesesuaian tapak serta keperluan teknikal sebelum cadangan berkenaan dipertimbangkan untuk langkah seterusnya.

Cadangan pembangunan pusat itu merupakan susulan sesi libat urus bersama 26 penternak ayam kacukan di Bukit Saban pada 6 Ogos lalu yang antara lain membincangkan keperluan mewujudkan kemudahan penyembelihan bagi melengkapkan rantaian industri.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata perkembangan industri berkenaan turut mendapat sokongan menerusi Program Peningkatan Ekonomi bagi Penternakan Anak Ayam di DUN Bukit Saban.

Sejak diperkenalkan pada 2023, program berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 1,200 penerima menerusi pengagihan hampir 60,000 ekor anak ayam melalui Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban dengan sokongan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Uggah berkata, beliau mahu melihat kawasan itu berkembang sebagai antara pembekal utama ayam kacukan di Sarawak dengan pembangunan baka, penternakan, pemprosesan dan pemasaran dilaksanakan secara bersepadu.

Menurutnya, pembangunan kemudahan sokongan perlu bergerak seiring pertumbuhan sektor berkenaan supaya lebih banyak peluang ekonomi, keusahawanan dan peningkatan pendapatan dapat diwujudkan untuk masyarakat setempat.

Turut hadir, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim; Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni; wakil Jabatan Veterinar Bahagian Betong, Merry; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil Majlis Daerah Betong.

Oleh Adi Safarman