ASAJAYA: Pusat Penjaja Tambirat yang dijangka siap menjelang tahun depan, bakal mengubah landskap sosioekonomi penduduk di kawasan ini.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pusat penjaja itu adalah alternatif utama dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar.
“Pusat penjaja ini merupakan azam saya untuk mengembangkan potensi ekonomi di kawasan ini.
“Saya yakin sejurus selepas pusat penjaja ini siap dan dibuka nanti, ledakan peningkatan ekonomi akan turut bermula,” katanya semasa menyantuni peniaga di tapak penjaja Kampung Tambirat, di sini hari ini.
Beliau berkata, pusat penjaja yang sudah hampir siap itu bertujuan memastikan peniaga dan pengunjung dapat menjalankan aktiviti jual beli dalam keadaan lebih selesa.
Katanya, tapak penjaja sedia ada sekarang ini bukan sahaja membahayakan pengunjung bahkan menyebabkan kesesakan lalu lintas khususnya pada waktu puncak.
“Pusat yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 2.56 ekar ini dapat menampung kapasiti lebih 500 orang pengunjung dalam satu masa.
“Oleh itu, saya yakin pengunjung akan berasa lebih selesa dan selamat untuk singgah dan membeli barang jualan di sini nanti.
“Tapak pusat penjaja baharu ini terletak di tebingan Tambirat, dan di situ nanti akan dibina Tebingan
Tambirat (waterfront),” katanya.