
KUCHING: Kerajaan Persekutuan disaran meneliti pendekatan Sarawak dalam menyediakan pendidikan tinggi percuma sebagai panduan dalam menentukan hala tuju masa depan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Gesaan itu dibuat mahasiswa undang-undang Sarawak, Telford Engan Tan, yang kini melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur, susulan laporan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membincangkan isu PTPTN bersama Menteri Pendidikan Tinggi selepas diminta mempertimbangkan semula cadangan pemansuhan skim berkenaan.
Telford berkata, perbincangan mengenai masa depan PTPTN perlu mengambil kira pendekatan yang telah dilaksanakan Sarawak melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang menurutnya menunjukkan usaha mengurangkan beban hutang pendidikan dalam kalangan graduan boleh direalisasikan.
“Sebagai rakyat Sarawak yang melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur, saya bangga melihat Sarawak menjadi peneraju dalam pendidikan tinggi percuma, walaupun pengajian saya sendiri masih belum termasuk dalam liputan FTES ketika ini.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, aspirasi pendidikan tinggi percuma telah diterjemahkan menjadi dasar yang kini sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sarawak telah menunjukkan apa yang mampu dicapai di peringkat negeri, namun peluasan peluang pendidikan tanpa beban hutang kepada pelajar di seluruh Malaysia memerlukan kepimpinan di peringkat Persekutuan.
“Premier Sarawak telah mengambil langkah penting sebagai permulaan. Putrajaya seharusnya mengkaji pengalaman itu dan melihat bagaimana prinsip mengurangkan hutang pendidikan pelajar boleh disesuaikan untuk dilaksanakan secara lebih meluas,” ujarnya.
Menurut Telford, pendekatan Sarawak juga memberi perhatian kepada peminjam PTPTN sedia ada melalui insentif pembayaran balik yang dibiayai kerajaan negeri.
Menerusi skim berkenaan, kerajaan negeri menanggung 30 peratus daripada baki pinjaman peminjam Sarawak yang layak selepas mereka melangsaikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah pinjaman.
“Sarawak telah membangunkan model yang praktikal dan mampan untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, yang wajar dikaji oleh Putrajaya.
“Pentadbiran Abang Johari melihat pendidikan sebagai pelaburan untuk membangunkan tenaga kerja masa depan Sarawak, bukan semata-mata hutang peribadi yang perlu ditanggung graduan muda,” jelasnya.
Bagaimanapun, Telford mengakui FTES dan PTPTN mempunyai skala serta reka bentuk yang berbeza dan perbincangan mengenainya tidak seharusnya terhad kepada persoalan sama ada PTPTN perlu dikekalkan atau dimansuhkan.
“Persoalan lebih besar ialah bagaimana Malaysia dapat mengurangkan bilangan graduan yang memasuki alam pekerjaan dengan beban hutang pendidikan.
“Peralihan ke arah pembiayaan awam yang lebih besar bagi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara berperingkat, terutama dalam bidang yang penting kepada keperluan ekonomi dan tenaga kerja negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan nasional tidak semestinya meniru sepenuhnya model Sarawak, sebaliknya mengambil prinsip asas iaitu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pelajaran dengan menyediakan lebih banyak peluang pendidikan yang dibiayai secara langsung.
Telford turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan melibatkan kerajaan Sarawak, Yayasan Sarawak serta institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam sebarang kajian semula terhadap PTPTN.
“Sarawak bukan sekadar perlu dipuji, tetapi dasar yang dilaksanakan perlu dikaji.
“Saya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengambil iktibar daripada pendekatan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Abang Johari dan membangunkan laluan pendidikan tanpa hutang yang setanding untuk pelajar di seluruh Malaysia,” katanya.



