Graduan KLT diharap rebut peluang pembangunan SEZ Sibu

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapa'ee menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan Kolej Laila Taib, hari ini.

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapa’ee menggesa graduan Kolej Laila Taib (KLT) memainkan peranan aktif dalam menjayakan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) bagi membantu memulihkan ekonomi bandar itu.

Menurutnya, graduan perlu menjadi pemangkin kepada usaha menarik semula bakat tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan di Sibu.

“Graduan yang menamatkan pengajian hari ini akan memainkan peranan yang amat penting dalam impian kita untuk menghidupkan semula ekonomi Sibu.

“Saya berharap kita semua dapat bekerjasama merealisasikan impian ini supaya Sibu kembali menjadi sebuah bandar moden yang tidak perlu bergantung kepada kawasan lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen KLT di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.

Annuar berkata cadangan penubuhan SEZ dikemukakannya kepada kerajaan negeri ketika program Sarawakku Sayang baru-baru ini, sebagai usaha mengembalikan daya saing ekonomi Sibu yang sebelum ini banyak bergantung kepada industri perkayuan.

Beliau berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kemudian bersetuju dengan cadangan itu dan menubuhkan SEZ dengan peruntukan awal RM1.5 bilion.

Pada masa sama, Annuar mendedahkan sebahagian besar belia Sibu tidak bercadang kembali bekerja di bandar itu selepas menamatkan pengajian.

“Hasil maklum balas daripada hampir 1,000 belia menunjukkan sekitar 60 hingga 70 peratus daripada mereka memilih untuk tidak pulang ke Sibu.

“Faktor utama yang dikenal pasti ialah kekurangan peluang pekerjaan, pembangunan bakat, perumahan mampu milik dan gaya hidup moden yang dicari oleh generasi muda.

“Keadaan ini menunjukkan kita perlu mewujudkan lebih banyak peluang supaya anak-anak Sibu mahu kembali dan menyumbang kepada pembangunan bandar ini,” katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 158 graduan menerima skrol masing-masing, terdiri daripada 143 graduan diploma dan 15 graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).