MALANG, Indonesia: Pihak berkuasa Indonesia bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di Taman Negara Gunung Bromo di Pulau Jawa selepas api memusnahkan lebih 120 hektar kawasan, ketika negara itu bersiap sedia menghadapi musim kemarau ekstrem akibat fenomena El Nino.
Kebakaran itu bermula pada Isnin lalu berhampiran Gunung Bromo di Jawa Timur, salah satu destinasi pelancongan paling popular di Indonesia yang kini ditutup sehingga diberitahu kelak.
Pihak berkuasa tempatan mengerahkan dua helikopter pengebom air bagi memadamkan kebakaran yang setakat ini memusnahkan sekurang-kurangnya 127 hektar kawasan taman negara, kata pegawai bomba, Bambang Setyo Antoko kepada AFP.
Keluasan kawasan yang musnah itu bersamaan kira-kira 180 padang bola sepak.

“Kami amat bergantung pada keadaan angin,” kata Bambang mengenai usaha pemadaman yang sedang dijalankan.
Pegawai taman negara, Rudijanta Tjahja Nugraha, berkata kawasan yang terbakar terletak di cerun dan tebing curam, sekali gus menyukarkan anggota bomba memasuki lokasi kejadian.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti. Namun, Bambang berkata kawasan taman negara itu berada dalam keadaan amat kering berikutan fenomena El Nino yang mula memberi kesan di Indonesia.
Gunung Bromo yang terkenal dengan pemandangan gunung berapinya pernah mengalami kebakaran pada 2023.
Ketika itu, kebakaran tercetus selepas sepasang bakal pengantin menyalakan suar semasa sesi fotografi praperkahwinan sehingga mengakibatkan lebih 500 hektar kawasan musnah.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memberi amaran bahawa musim kemarau 2026 dijangka lebih panas dan berpanjangan berbanding kebiasaan, dengan risiko kebakaran hutan serta kemarau yang lebih tinggi, sebahagiannya berpunca daripada fenomena El Nino.
Menurut Kementerian Perhutanan Indonesia, lebih 107,000 hektar kawasan terbakar antara Januari hingga Jun tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda berbanding keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023.
Fenomena El Nino sebelum ini turut menyumbang kepada 2023 dan 2024 sebagai dua tahun paling panas yang pernah direkodkan di peringkat global.
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Di India dan Asia Tenggara, fenomena itu lazimnya menyebabkan keadaan cuaca yang lebih kering. – AFP





