KEMAS sasar wujud satu Tabika Tunas Istimewa di setiap daerah menjelang 2027 – Ahmad Zahid

Facebook
WhatsApp

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan memperluaskan Program Tabika Tunas Istimewa dengan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah tabika seumpama itu di setiap daerah menjelang 2027, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak khas terus dapat diakses keluarga, dengan kadar yuran dikekalkan pada RM100 sebulan.

“Daripada 19 kelas yang sedang beroperasi, KEMAS akan menyediakan sehingga 132 kelas tambahan melalui pembukaan serta baik pulih bangunan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

Beliau berkata sasaran berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pembangunan masyarakat desa melalui pendekatan yang memberi impak terus kepada rakyat.

Ahmad Zahid berkata keberkesanan pentadbiran sesebuah kerajaan dinilai berdasarkan perubahan dalam kehidupan rakyat dan sejauh mana hasilnya benar-benar dapat dirasai.

“Pendekatan saya sentiasa jelas. Kita mesti mencari pemangkin perubahan yang mampu membuka peluang baharu, meningkatkan pendapatan dan membawa perubahan kepada masyarakat desa,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata setiap Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) ditetapkan supaya mencapai Pulangan Atas Aset (ROA) optimum antara empat hingga enam peratus.

Beliau berkata semua LKW turut diarahkan menyediakan Pelan Pengaktifan Aset dalam tempoh 100 hari bagi memastikan aset kerajaan dimanfaatkan secara lebih produktif dan memberi pulangan kepada rakyat.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Desa (MEXCLUB) bersetuju memperkukuh Program Desa Lestari menerusi penubuhan satu pasukan petugas yang akan membantu koperasi dari aspek tadbir urus, penjenamaan, akses pasaran dan jaringan strategik.- Bernama