Sistem pendidikan perlu seiring cabaran masa depan, kuasai AI dan STEM

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri merakam gambar kenangan pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan PPD Saratok Tahun 2026 yang merangkumi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Majlis Jasamu Dikenang di Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam. Foto ADUN Kalaka

SARATOK: Sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan perubahan dunia dengan memberi tumpuan kepada usaha melahirkan generasi yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi baharu serta memiliki pemikiran global tanpa mengabaikan jati diri dan nilai murni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pendekatan pendidikan tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk modal insan yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita tidak lagi boleh hanya melahirkan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan semata-mata. Sebaliknya, kita perlu membentuk generasi yang mampu menyelesaikan masalah, menguasai teknologi baharu, berfikiran global tetapi tetap berpegang teguh kepada jati diri serta nilai murni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok Tahun 2026 yang merangkumi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Majlis Jasamu Dikenang di Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam.

MOHAMAD Duri menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang penerima. Foto ADUN Kalaka

Penerima terdiri daripada 59 sekolah di sekitar Daerah Saratok itu melibatkan 48 bakal bersara dan 101 warga guru dan 29 orang penerima dari anggota kumpulan pelaksana.

Menurut Mohamad Duri, majlis berkenaan bukan sekadar acara penyampaian anugerah, malah menjadi manifestasi penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang telah mencurahkan masa, tenaga dan fikiran dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing.

Beliau turut mengimbau bait puisi Allahyarham Usman Awang yang menekankan kepentingan pendidikan dan peranan guru dalam membentuk jati diri seseorang, sambil menegaskan bahawa guru merupakan asas kepada pembinaan tamadun dan masa depan negara

Tambahnya, dunia pendidikan kini sedang melalui fasa perubahan yang sangat pantas susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, ekonomi digital serta perubahan landskap pekerjaan yang memerlukan sistem pendidikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

“Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 menjadi landasan penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negara melalui penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat, transformasi digital, pengukuhan kualiti guru, kesejahteraan murid serta pendidikan yang lebih inklusif dan berorientasikan masa depan.

“Sehubungan itu, saya menggesa warga pendidik agar terus meningkatkan kompetensi profesional melalui pembelajaran berterusan kerana guru masa kini bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah bertindak sebagai fasilitator pembelajaran, mentor, inovator dan agen perubahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Duri berkata usaha memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, penyelidik dan tenaga mahir yang mampu memacu pembangunan negara berasaskan inovasi serta teknologi tinggi.

Beliau berkata minat murid terhadap STEM perlu dipupuk sejak di bangku sekolah menerusi pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, berasaskan penyelesaian masalah, eksperimen, inovasi dan penerokaan.

Menyentuh inisiatif kerajaan Sarawak, beliau berkata pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri kepada anak-anak Sarawak yang layak bermula tahun ini merupakan pelaburan strategik dalam membangunkan modal insan, khususnya dalam bidang kritikal seperti STEM, teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hijau dan kecerdasan buatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peluang tersebut hanya akan membuahkan hasil sekiranya disertai usaha gigih, disiplin tinggi serta sokongan padu daripada guru, ibu bapa dan masyarakat.

Mengulas cabaran pendidikan semasa, Mohamad Duri berkata isu jurang digital, ledakan maklumat, penyebaran berita palsu, perkembangan AI serta kesejahteraan mental murid memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih dinamik, responsif dan berteraskan nilai kemanusiaan, sambil menegaskan bahawa teknologi tidak akan mampu menggantikan sentuhan kasih sayang, kebijaksanaan dan bimbingan seorang guru.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan.

Mohamad Duri turut menghayati bait sajak Usman Awang yang menegaskan bahawa setiap tokoh besar dalam masyarakat memulakan perjalanan hidup mereka melalui didikan “seorang guru biasa”, sekali gus mengangkat martabat profesion keguruan sebagai pencorak masa depan negara.

Oleh Adi Safarman