SARATOK: Pembinaan projek tebingan sungai (Waterfront) di Saratok bakal dinaik taraf dan dibina dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Skim Pembesaran Kampung (SPK) di daerah ini juga akan diteruskan demi manfaat rakyat Saratok.
“Oleh itu, saya meminta kepada rakyat untuk bersabar dalam pelaksanakan pembangunan tersebut kerana banyak proses yang mesti dilakukan dan melibatkan beberapa agensi lain, perancangan teliti dan dijangka mengambil masa beberapa tahun.
“Saya juga akan meneruskan usahandalam membangunkan kawasan Krian dan Kabong, selain Kalaka yang berada di bawah Parlimen Saratok seperti pemasangan elektrik dan bekalan air bersih,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di pentas utama Sri Kalaka di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyuarakan beberapa pembangunan perlu dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat di kawasan itu seperti pembinaan tebingan sungai Saratok, naik taraf jalan dan jeti.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menyampaikan bantuan Ihsan Kematian, bantuan Ibu Bersalin, bantuan Mikro Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) dan bantuan rumah ibadat (UNIFOR).
Oleh AZREEN KERIA