Pokok tumbang hempap rumah di Jalan Pengiran Kadir

Facebook
WhatsApp

SARIKEI: Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila sebatang pokok tumbang lalu menghempap rumah mereka di Jalan Pengiran Kadir, Bandar Sarikei, petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sarikei menerima panggilan kecemasan pada 5.04 petang.

“Menurut maklumat daripada pengadu, sebatang pokok telah tumbang dan menghempap rumahnya.

“Bimbang dengan keselamatan keluarga, pengadu terus menghubungi PKOD Sarikei untuk meminta bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tiga anggota APM Sarikei kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba pada 5.40 petang.

“Setibanya di lokasi, pasukan APM terus menjalankan operasi dan mendapati pokok tersebut tumbang lalu menghempap rumah pengadu.

“Pasukan APM Sarikei kemudiannya menjalankan kerja memotong pokok bagi mengalihkan bahagian yang menghempap rumah tersebut,” katanya.

Tambahnya, pokok berkenaan berjaya dipotong dan kawasan sekitar turut dibersihkan.

“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada 6.35 petang,” katanya.

Oleh Earl Anek