Pemeriksaan lanjut tentukan kerosakan, keperluan bantuan mangsa ribut 

Facebook
WhatsApp
SALAH sebuah rumah kediaman yang terjejas akibat ribut kencang dan hujan lebat di sekitar Sarikei, petang tadi.

SARIKEI: Pemeriksaan lanjut sedang dilakukan terhadap lima rumah yang terjejas akibat ribut kencang dan hujan lebat bagi menentukan tahap kerosakan serta bentuk bantuan yang diperlukan oleh setiap keluarga.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata penilaian di lapangan perlu dilakukan terlebih dahulu supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan berdasarkan keadaan sebenar kediaman yang terjejas.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan kita sedang melihat langkah terbaik untuk membantu keluarga yang terjejas.

“Ia termasuk kemungkinan menggunakan peruntukan projek rumah orang miskin bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

WARGA kampung bergotong-royong membersihkan halaman rumah yang terjejas akibat ribut kencang di Sarikei, petang tadi.

Kejadian berlaku ketika ribut petir melanda beberapa kawasan sekitar Sarikei, disertai angin kencang dan hujan lebat sehingga menyebabkan sebahagian bumbung kediaman diterbangkan petang tadi.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Kampung Jalan Drahman Keria dan Kampung Dibah, manakala tahap keseluruhan kerosakan masih dalam proses penilaian.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, pemeriksaan itu penting bagi mengenal pasti bentuk kerosakan pada setiap kediaman, sekali gus menentukan keperluan sebenar sebelum bantuan sewajarnya disalurkan.

Katanya, hasil penilaian berkenaan akan menjadi asas untuk menentukan mekanisme bantuan yang bersesuaian.

BUMBUNG rumah diterbangkan angin kencang ketika ribut petir melanda beberapa kawasan sekitar Sarikei, petang tadi.

Langkah itu diharap dapat membantu keluarga terjejas memulihkan kediaman masing-masing selepas tahap kerosakan akibat ribut dikenal pasti sepenuhnya.

Dalam pada itu, Len Talif melahirkan rasa syukur kerana kejadian tersebut tidak meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan, meskipun beberapa kediaman mengalami kerosakan.

Kesemua penghuni lima rumah terbabit dilaporkan terselamat dalam kejadian tersebut.

Oleh Earl Anek