KUCHING: Projek pembangunan TEGAS Lodge Sarawak (TLS), terletak di kawasan seluas enam hektar berhampiran Perkampungan Digital TEGAS (TDV), dijangka bermula pada tahun depan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelan projek tersebut telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) bagi mendapatkan kelulusan.
Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberikan persetujuan secara prinsip pada tahun lepas untuk Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melaksanakan projek ini.
“InsyaAllah, pembinaan TLS akan bermula tahun depan. Pelan projek telah dikemukakan kepada SPA, dan kami berharap ia mendapat kelulusan dalam tahun ini.
“Bangunan TDV yang ada sekarang dibina di atas tanah seluas dua hektar.
“Terdapat lagi enam hektar tanah di belakangnya yang akan digunakan untuk pembangunan projek baharu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Think and Tinker Mini Lab Battlefield’ di TDV, Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Len turut menjelaskan bahawa bangunan TLS yang akan dibangunkan dengan kos sekitar RM70 juta itu bakal menawarkan pelbagai kemudahan, termasuk hotel, dewan berkapasiti lebih 500 orang, gimnasium, spa, dan lain-lain.
Katanya, projek ini bertujuan untuk menarik digital nomad, terutamanya dari luar negara, yang mahu bekerja dan melawat Sarawak.
“Pada masa ini, di seluruh dunia, terutamanya di Sepanyol, Portugal, Amerika, Bali, dan Singapura, terdapat digital nomad yang menjalankan perniagaan dari luar negara tanpa perlu berada di pejabat,” katanya.
Beliau berkata konsep projek ini akan mengambil inspirasi dari Lembah Silikon (Silicon Valley) di Amerika Syarikat, bertujuan untuk memperkasa pembangunan bakat teknologi tempatan, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital lain.
Oleh Mohd Neenatul Aizal