
KANOWIT: Projek menaik taraf Rumah Jawa di Sungai Pedai kini siap sepenuhnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana.
Menurutnya, projek ini dijalankan dengan peruntukan daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Ngemah sebanyak RM50,000, dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu sebagai agensi pelaksana.
“Skop kerja-kerja projeknya adalah baik pulih lantai dan pemasangan jubin baharu di kawasan beranda rumah panjang tersebut,” katanya ketika merasmikan projek itu, Sabtu lepas.
Dalam ucapan perasmiannya, Anyi juga menekankan mengenai proses pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang melibatkan penglibatan penduduk setempat.
Menurutnya, pemilihan tersebut dilaksanakan melalui proses yang telus, di mana calon akan disaring oleh pihak polis sebelum diangkat secara rasmi oleh Pejabat Residen.
“Proses pemilihan ini dikendalikan oleh Residen bersama Pegawai Daerah dan ADUN kawasan,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak yang berkepentingan untuk menghantar permohonan bagi projek RTP 2026 sebelum 30 April 2025 ke Pusat Khidmat ADUN Ngemah.
Permohonan tersebut, katanya, perlu diserahkan untuk memastikan kertas kerja projek dapat disiapkan dan dibentangkan dalam bengkel pelaksanaan RTP, sebelum diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi di Kuching untuk kelulusan.
Tambah Anyi, Agensi Pembangunan Wilayah Rajang Tengah (MiRRDA) juga sedang memberi perhatian khusus terhadap pembangunan infrastruktur dan sektor pertanian di DUN Ngemah.
“Salah satu usaha yang sedang diperkenalkan adalah penanaman kelapa sawit, yang dijangka dapat meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan tersebut,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, Anyi turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jawa untuk menyokong aktiviti tahunan mereka.
Oleh Tarani Lanting