MIRI, 5 November: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) terus mempergiat usaha meneroka potensi sektor pertanian komersial sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan masyarakat di Bahagian Sri Aman.
Usaha itu diterjemahkan menerusi lawatan kerja SADA ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Miri dan Ning Planters Miri bagi meninjau pendekatan pengurusan serta pelaksanaan projek pertanian yang berpotensi diperluaskan di Sri Aman.
Lawatan tersebut diketuai Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim, dengan penglibatan ketua-ketua jabatan, agensi pelaksana serta ketua-ketua masyarakat dari Bahagian Sri Aman.
Menurut Rohani, lawatan itu bukan sekadar bertujuan melihat pelaksanaan projek pertanian, malah menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman bagi membuka ruang kepada idea baharu dalam pembangunan sektor berkenaan.
Beliau berkata, pendedahan tersebut penting supaya ketua-ketua masyarakat dapat membawa pulang pengetahuan yang diperoleh untuk dikongsi bersama komuniti masing-masing.
“Menerusi lawatan ke TKPM Miri, delegasi berpeluang meninjau pengurusan kawasan pengeluaran makanan yang menumpukan pengeluaran hasil pertanian secara terancang dan berterusan.
“Pendedahan itu membolehkan SADA mengenal pasti pendekatan bersesuaian bagi meningkatkan pengeluaran makanan serta mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian di Bahagian Sri Aman,” katanya.
Sementara itu, lawatan ke Ning Planters Miri memberi peluang kepada delegasi meneliti kaedah pengurusan operasi, penggunaan teknologi dan pendekatan pembangunan aktiviti pertanian secara komersial.
Perkongsian pengalaman daripada pihak syarikat turut membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama strategik yang mampu menjana aktiviti ekonomi baharu di kawasan luar bandar.
“SADA melihat sektor pertanian sebagai antara bidang berpotensi tinggi untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh keterjaminan makanan serta mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada penduduk setempat.
“Inisiatif itu selaras dengan hala tuju pembangunan SADA Fasa 2 yang memberi penekanan kepada sektor pertanian dan pelancongan, selain menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Hasil lawatan berkenaan kata Rohani diharap menjadi input penting dalam merangka projek pertanian yang bersesuaian dengan keupayaan, sumber tanah dan potensi ekonomi di Bahagian Sri Aman.
“Penglibatan ketua jabatan, agensi pelaksana dan ketua masyarakat juga dilihat penting bagi memastikan setiap perancangan mengambil kira keperluan sebenar penduduk serta dilaksanakan secara terselaras,” katanya.
Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Timbalan Residen, Frank Lani; Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Galeling Ason; Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong; Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis serta ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat Bahagian Sri Aman.
Oleh Adi Safarman



