ENGKILILI, 5 November: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan Program ‘Talk To Us’ oleh Balai Polis Engkilili, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Market Bersepadu Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan, pencegahan jenayah serta kepentingan kerjasama antara polis dengan komuniti.
Program tersebut disertai Ketua Polis Balai Engkilili, Sarjan Riki Nyambai bersama Koperal Johny Dominic dan Elina Bong.
Antara pengisian utama ialah penerangan mengenai peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) serta penggunaan talian hotline 997 bagi membolehkan orang ramai bertindak segera sekiranya menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Selain itu, masyarakat turut diperkenalkan dengan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai salah satu saluran untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan kepada pihak polis.
Anggota polis yang terlibat turut berkongsi maklumat mengenai trend jenayah semasa selain memberikan nasihat dan panduan praktikal bagi membantu masyarakat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.
Lebih penting, program itu menjadi ruang komunikasi dua hala yang membolehkan penduduk menyampaikan aduan, pandangan serta permasalahan berkaitan keselamatan di kawasan masing-masing secara terus kepada pihak polis.
Sepanjang program berlangsung, tiada sebarang aduan diterima daripada orang ramai.
Bagaimanapun, pelaksanaan program tersebut mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat, termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Malah, mereka turut mencadangkan agar program seumpama itu diperluaskan ke kawasan lain di Daerah Lubok Antu dan Engkilili supaya lebih ramai penduduk berpeluang mendapatkan maklumat serta berinteraksi secara langsung dengan pihak polis.
Sambutan positif itu memperlihatkan kepentingan pendekatan turun padang dalam membina kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.
Secara keseluruhannya, program berjalan lancar seperti yang dirancang dan berjaya mengeratkan hubungan kerjasama antara PDRM dengan komuniti setempat.
Usaha berterusan seumpama itu diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mencegah jenayah, menyalurkan maklumat serta memastikan persekitaran komuniti sentiasa selamat dan harmoni.
Oleh Adi Safarman



