Pembangunan kompleks bersepadu RM50 juta lonjak imej Bandar Mutiara Tebedu

Facebook
WhatsApp
GERBANG pintu masuk utama. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

TEBEDU, 5 November: Pembinaan Kompleks Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu bernilai RM50 juta bakal menjadi antara projek pemangkin utama dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi, perdagangan, pelancongan serta kebudayaan di kawasan Bandar Mutiara Tebedu.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, cadangan pembangunan kompleks bersepadu itu merupakan antara gagasan penting yang diketengahkan menerusi perancangan pembangunan Tebedu sejak awal 2022.

GAMBARAN keseluruhan pembinaan Kompleks Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

“Usaha merangka projek berkenaan bermula menerusi penganjuran Makmal Pembangunan Tebedu di bawah inisiatif projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).

“Pelbagai siri perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah dilaksanakan bagi mengenal pasti potensi serta hala tuju pembangunan kawasan berkenaan,” katanya.

HAB Transit. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

Dr Simon berkata, kompleks tersebut dicadangkan sebagai sebuah hab bersepadu yang bukan sahaja menyediakan kemudahan perniagaan dan perdagangan, malah berperanan sebagai pusat aktiviti kebudayaan, pengembangan industri kreatif serta keusahawanan.

“Kompleks ini juga akan menjadi platform untuk mempromosikan produk tempatan sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.

BANGUNAN Pejabat Utama. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

Menurut Dr Simon, keseluruhan projek yang menelan kos sebanyak RM50 juta itu telah diluluskan dan dianugerahkan kepada kontraktor yang berjaya.

Beliau berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat berjalan lancar agar pembangunan tersebut mampu direalisasikan mengikut perancangan.

HAB Kebudayaan. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu

“Kewujudan kompleks itu diyakini berupaya meningkatkan imej Bandar Mutiara Tebedu sebagai pusat pertumbuhan baharu, selain memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk antarabangsa.

“Pembangunan itu sekali gus diharap menjadi pemangkin kepada kemajuan Tebedu serta membuka lebih banyak peluang dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan demi manfaat penduduk setempat,” tambahnya.

Oleh Adi Safarman

HAB Ekonomi. Foto Dr Simon Sinang N21 Tebedu