KUALA LUMPUR, 5 November: Kekangan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) menyebabkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengalihkan sejumlah RM200 juta daripada peruntukan program itu bagi 2026 untuk menampung tunggakan bayaran projek Jalan Luar Bandar (JALB).
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata antara kekangan yang dihadapi ialah pertikaian pemilikan tanah waris, ketiadaan tapak bersesuaian serta masalah pertindihan nama pemohon.
Beliau berkata pengalihan peruntukan itu dilaksanakan menerusi kaedah Notis Perubahan (NOC) daripada dana asal PPRS 2026 berjumlah RM413 juta bagi mengelakkan peruntukan tahunan tidak dapat dibelanjakan akibat kelewatan pelaksanaan projek.
Bagaimanapun, Rubiah menegaskan langkah penyelarasan itu tidak bermakna kementerian mengetepikan agenda kebajikan dan penyediaan perumahan untuk masyarakat luar bandar.
“Permohonan untuk PPRS ini sememangnya amat banyak, namun kita berdepan pelbagai isu pelaksanaan di lapangan… sebab itu ada projek yang terpaksa ditangguhkan dan perlu kita siasat semula yang mana sebab itu sejumlah RM200 juta itu tidak dapat dibelanjakan.
“Maksudnya kita boleh NOC kepada projek jalan luar bandar. Sebab itu saya maklumkan tadi kita tidak mengorbankan maksudnya kepentingan satu-satu projek berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KKDW di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi Belanjawan 2027, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM416.2 juta untuk program PPRS yang dijangka memanfaatkan 12,457 penerima membabitkan projek bina baharu dan baik pulih rumah di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Rubiah berkata pelaksanaan projek infrastruktur JALB turut berdepan cabaran susulan arahan Kementerian Kewangan (MOF) pada 10 Sept lepas supaya pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) bagi projek jalan ditangguhkan serta-merta sebagai langkah kawalan perbelanjaan.
Beliau berkata penangguhan itu membolehkan kementerian menstabilkan kedudukan kewangan bagi menyelesaikan komitmen bayaran projek terdahulu, namun ketiadaan garis masa tetap daripada MOF berisiko menyebabkan tender projek baharu dibatalkan.
“SST hanya sah bagi tempoh dua hingga tiga bulan. Sekiranya dalam tempoh enam bulan kita tidak mendapat kelulusan lanjut daripada MOF, sudah pasti tender projek berkenaan terpaksa dibatalkan dan kita perlu memulakan proses baharu,” katanya.
Rubiah berkata berdasarkan garis panduan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), projek yang gagal ditender atau dilaksanakan dalam tempoh dua tahun berisiko untuk dibatalkan.
Sebagai contoh di Sabah, beliau berkata sebanyak 20 projek JALB di negeri itu yang berada di peringkat prapelaksanaan kini terpaksa dibekukan pengeluaran SST, manakala 62 projek di fasa pembinaan akan diteruskan pelaksanaannya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 bagi KKDW berjumlah RM4,850,160,200 dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 31 Ahli Parlimen.
Sebelum mengakhiri mesyuarat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua ahli dewan dan rakyat Malaysia.
Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada Isnin dan Selasa depan, sebelum persidangan bersambung semula pada Rabu (11 November). – Bernama




