KOTA SAMARAHAN: Kemajuan projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) kini mencapai tahap 52 peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata pembinaan projek dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) ini mengikut jadual.
“Tujuan lawatan saya hari ini adalah untuk melihat tahap pelaksanaan projek ini. Ada beberapa isu yang kita perlu selesaikan, namun menurut laporan JKR, pelaksanaan projek ini mengikut jadual.
“Namun kita perlu mengambil kira pandangan dikemukakan oleh KPT dan Unimas, dari sini nanti kita akan dapat pelaburan untuk kita lihat dan membuat penilaian.
“Selepas itu, kalau perlu, saya akan panggil mesyuarat kepada pasukan yang terlibat dalam pembinaan hospital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatannya ke Hospital Pengajar Unimas dan SMK Sri Samarahan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kemajuan projek pembinaan SMK Sri Setia, Fadillah menyatakan bahawa pembinaan sekolah tersebut juga berjalan lancar dan mengikut jadual.
Katanya, beliau berpuas hati dengan tahap kemajuan sekolah tersebut, namun, terdapat beberapa aspek keselamatan perlu diperhalusi.
“Ada beberapa aspek saya berikan padangan tadi untuk keselamatan. Salah satunya tempat jalan kaki yang berbumbung. Saya mahu tahu sama ada bumbung tersebut cukup untuk melindungi para pelajar atau guru yang menggunalan laluan pejalan kaki itu.
“Kalau tidak, laluan pejalan kaki itu akan terkena tempias, akhirnya menyebabkan air bertakung, yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar.
“Jadi saya nak mereka(pihak kontraktor) untuk lihat balik dan selesaikanya,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT