SIMANGGANG: Sebanyak 53 rancangan projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) kini sudah dilulus, membabitkan kos RM1.22 bilion.
Timbalan Pengerusi SADA, Datuk Amar Jaul Samion berkata kelulusan itu merangkumi 28 projek infrastruktur, lima projek pertanian, 19 projek ekonomi, dan satu projek sosial.
Katanya, sembilan daripada 15 projek pembangunan infrastruktur itu termasuk tujuh projek pelancongan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka ditender dan dilaksanakan pada tahun ini.
“Sebanyak 23 projek di bawah kendalian JKR itu akan menelan kos RM848 juta,” katanya pada sidang media sempena mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA bagi Bil 1/2023 dekat sini, hari ini.
Jaul berkata, satu projek sosial iaitu pembukaan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dijangka mula beroperasi dekat bandar ini pada pertengahann tahun nanti.
Katanya, apabila mula beroperasi nanti, kaedah pertanian pintar akan menjadi kursus pertama yang ditawar di PPKS itu sebelum ia disusuli dengan kursus teknikal lain.
“Bagaimanapun SADA akan berusaha mempercepatkan pelaksanaan kesemua 53 projek pembangunan agar penduduk di bawah pentadbiran agensi ini dapat menikmati hasilnya dengan kadar segera.
“SADA menjangkakan perubahan yang dihasilkan melalui pelaksanaan kesemua 23 projek ini akan dapat dilihat selepas tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Hadir sama Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, dan Pegawai Tadbir Khas SADA, Datu Indit Bangai.
Oleh VALENTINE NGUMBANG