LAWAS: Kelab Wanita Prihatin Lawas bersama Biro Kebajikan Wanita PBB Cawangan N.82 Bukit Sari membuka tirai 2025 dengan aktiviti kebajikan melalui Program Sentuhan Kasih.
Pengerusi Kelab Wanita Prihatin Lawas Dayangku Norli Pengiran Tajuddin bersama Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Aujinajian Garip telah menyantuni empat zon untuk menghulurkan sumbangan.
Dayangku Norli memberitahu sejumlah 25 orang penerima terdiri daripada warga emas yang terlantar dan pesakit kronik seperti pengidap kanser dan sebagainya telah mereka santuni.
“Kelab Wanita Prihatin Lawas ditubuhkan pada 3 Ogos 2024 dan ini merupakan program sulung kelab.
InsyaAllah program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang tahun ini.
“Sebenarnya ada ramai pesakit warga emas dan pesakit kronik yang terlantar di Lawas, malah pihak kami pun baru saja dapat mengumpul maklumat mereka,” katanya kepada media hari ini.
Melalui program ini pihak kelab dan Wanita PBB mendapati ada antara golongan ini yang tidak ada keluarga dan mengharap ihsan dari jiran selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Zon yang disantuni kali ini ialah Zon bandar, Zon Jalan Punang, Zon Punang dan Zon Trusan.
Oleh ADENG EDRUS