BEKENU,10 November: Program Santai Ngopi di Rumah Patrick Libau, Niah menjadi platform interaksi antara pemimpin dan masyarakat setempat, selain memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai bantuan serta perkhidmatan kebajikan kerajaan.
Program anjuran Biro Wanita Rumah Patrick Libau itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus.
Menerusi pertemuan tersebut, Rosey berpeluang mendengar sendiri pandangan, masalah serta keperluan penduduk dalam suasana santai.
Program berkenaan turut melibatkan pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri yang memberikan penerangan mengenai pelbagai inisiatif, kemudahan dan bantuan kerajaan, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Penduduk juga berpeluang mengemukakan pertanyaan serta mendapatkan penjelasan mengenai prosedur dan saluran permohonan bantuan kebajikan.
Perkongsian maklumat itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bentuk sokongan yang disediakan kerajaan, sekali gus membantu memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasar.
Penganjuran program seumpama itu turut menjadi wadah memperkukuh hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat, di samping mengenal pasti keperluan penduduk di kawasan Bekenu.
Oleh Adum Liu




