Perarakan Krismas Bandaraya Miri ke-17 , 5 Disember ini

Facebook
WhatsApp
PERARAKAN KRISMAS...Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri,Adam Yii (duduk tengah) bersama yang lain merakamkan gambar kenangan selepas sidang media mengenai Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2026, hari ini.

MIRI, 10 November: Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2026 yang memasuki penganjuran kali ke-17 akan berlangsung pada 5 Disember ini di Dataran Kipas di sini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri,Adam Yii berkata, sambutan tahun ini bertemakan ‘Yesus Kristus, Harapan Hidup Kita’ yang dipetik daripada 1 Petrus 1:3.

“Perarakan Krismas Bandaraya Miri bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

“Penganjuran kali ke-17 ini mencerminkan komitmen dan kerjasama berterusan gereja, pertubuhan masyarakat, sukarelawan, penaja, agensi kerajaan serta penduduk Miri dalam menjayakan acara tahunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dijemput sebagai tetamu kehormat bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Menurutnya, pelbagai acara menarik disediakan termasuk persembahan pujian dan penyembahan, nyanyian, tarian serta konsert Krismas oleh gereja-gereja yang mengambil bahagian.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas artis tempatan, Ramles Walter, selain perarakan kenderaan berhias Krismas yang dijangka menjadi antara tarikan utama pengunjung.

Katanya, perarakan akan bermula dari Miri City Fan melalui Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Kingsway, Jalan Puchong, Jalan Padang, Jalan Melayu, Jalan Nahkoda Gampar, Jalan Cina, Jalan Bendahara, Jalan North Yu Seng, Jalan South Yu Seng, Jalan Merpati dan Jalan Kipas sebelum kembali ke Miri City Fan.

Oleh Liong Chai Ling